Polis Pulau Pinang Siasat Namewee

>> ABDUL Ghaffar menunjukkan sebahagian rakaman video Namewee di dalam Masjid Terapung dalam sidang media di IPK Pulau Pinang, hari ini. – Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang akan memanggil pengarah dan pemuzik kontrovesi Wee Meng Chee atau Namewee, 33, untuk memberi kenyataan berhubung rakaman video yang didakwa menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghaffar Rajab, berkata satu laporan dibuat Pengerusi Masjid Terapung, Tanjung Bungah, semalam berikutan rakaman itu dibuat di dalam masjid berkenaan.

“Kita akan panggil Namewee untuk tampil memberikan keterangan mengenai rakaman videonya yang dikatakan menghina agama sehingga menaikkan kemarahan masyarakat.

“Tiga lagi rakannya yang terbabit melakukan rakaman juga akan dipanggil bagi memberi keterangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, petang tadi.

Dalam rakaman video berdurasi empat minit itu, Namewee dilihat menyanyi dan menari di beberapa rumah ibadah sekitar negeri ini, termasuk didakwa masuk ke ruang solat masjid.

Abdul Ghaffar berkata, siasatan kes berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membencana dan mencemarkan tempat sembahyang orang awam.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.