Israel bina penempatan haram

BAITULMAQDIS 28 Sept. – Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Palestin mengutuk rancangan Israel untuk membina 1,100 buah lagi rumah di kawasan penempatan haram Yahudi di timur Baitulmaqdis.

Para pemimpin Palestin menyifatkan rancangan rejim Zionis Israel itu sebagai penghinaan terhadap cadangan Kuartet Asia Barat, baru-baru ini supaya rundingan damai Palestin-Israel disambung semula.

Kesemua pihak membidas pengumuman Kementerian Dalam Negeri Israel semalam bahawa rancangan telah diluluskan bagi membina unit perumahan baru di Gilo, tertakluk kepada tempoh 60 hari ini untuk bantahan awam.

“Dengan rancangan itu, Israel membalas cadangan Kuartet bagi rundingan damai disambung semula dengan 1,100 ‘tidak’,” kata perunding damai Palestin, Saeb Erakat, sejurus selepas kelulusan itu diumumkan.

Pandangan sama dinyatakan oleh Richard Miron, jurucakap bagi utusan damai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Asia Barat, Robert Serry.

“Keputusan hari ini tidak mempedulikan rayuan Kuartet pada Jumaat lepas kepada semua pihak terbabit supaya mengelakkan tindakan provokatif,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland menggambarkan rancangan Israel itu sebagai ‘tidak produktif’, manakala ketua dasar luar EU, Catherine Ashton turut mengutuk keputusan tersebut sambil menggesa pihak berkuasa Israel supaya menariknya balik cadangan itu.

Jumaat lalu, Kuartet Asia Barat yang terdiri daripada PBB, AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia menggesa Israel dan Palestin menyambung semula rundingan damai dalam masa sebulan, dengan matlamat untuk mencapai perjanjian dalam tempoh setahun.

Mereka membentangkan cadangan itu tidak lama selepas Palestin mengemukakan permohonan rasmi kepada PBB untuk menjadi anggota penuh badan dunia itu, tanpa mengendahkan bantahan AS dan Israel. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.