Kelawar pekebun semula jadi hutan

HUTAN hujan tropika di negara ini sememangnya kaya dengan kepelbagaian biologi flora dan fauna.

Terdapat hampir 600 spesies burung, 286 spesies mamalia, 140 spesies ular dan 80 spesies serangga serta organisma kecil lain yang tidak terhitung jumlahnya.

Salah satu jenis haiwan yang memainkan peranan penting dalam menyuburkan hutan adalah kelawar.

Menurut Pegawai Penyelidik, Bahagian Perhutanan, Program Hutan Asli, Cawangan Ekologi, Institut Kajian Perhutanan (FRIM), Dr. Christine Flecther, kelawar memainkan peranan penting dalam penyebaran biji benih dan proses pendebungaan.

‘‘Biarpun kelawar sering dikaitkan dengan mitos yang menyeramkan, haiwan yang jahat serta hodoh, hakikatnya kelawar tidak begitu.

‘‘Ia memainkan peranan penting dalam ekologi hutan dimana ia juga boleh dikatakan sebagai pekebun semulajadi hutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan syarahan Konservasi dan Kajian Kelawar di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Kuala Lompat, Krau, Pahang kepada peserta MyBats Camp 2011 yang diadakan baru-baru ini.

Kem anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) bersama Kementerian Pelajaran (KPM), Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta beberapa agensi kerajaan disertai hampir 80 orang pelajar daripada pelbagai sekolah dari Kuala Lumpur dan sekitar Pahang.

Jelas Fletcher, kelawar merupakan satu-satunya mamalia yang boleh terbang melalui kuasa penerbangan (power flight) mengikut kemahuan serta haluan yang dikehendakinya.

Tambah pengkaji kelawar dari FRIM tersebut, Malaysia antara negara yang memiliki kepelbagaian spesies kelawar yang tertinggi di dunia.

“Berbanding negara-negara Eropah, Malaysia bertuah kerana merupakan sebuah negara tropika yang menjadi habitat paling sesuai buat kelawar.

“Terdapat 118 hingga 126 spesies (mengikut kajian yang berbeza) kelawar di negara ini yang mana mewakili 10 peratus jumlah spesies kelawar di seluruh dunia,” ujarnya.

Malah, hampir 40 peratus jumlah mamalia yang terdapat di Malaysia terdiri daripada kelawar dan secara saintifiknya ia dikenali sebagai ‘Chiroptera’ yang bermaksud tangan bersayap.

“Terdapat 1, 111 spesies kelawar di seluruh dunia dan di Malaysia sahaja sehingga kajian terbaru mendapati terdapat 132 spesies,” katanya.

Di Rezab Hidupan Liar Krau sahaja terdapat 72 spesies iaitu hampir 60 peratus jumlah keseluruhan spesies kelawar dalam negara.

Malah di kawasan rezab tersebut juga turut dijumpai spesies kelawar terbaru yang diklasifikasikan sebagai spesies endemik, dikenali sebagai wolly bats atau nama saintifiknya Kerivoula krauensis.

Spesies ini mula ditemui pada awal tahun 1990 an dan secara rasminya ia direkodkan sebagai spesies terbaru dan endemik di Krau pada tahun 2007.

Kelawar mengawal penerbangan serta mencari makanan seperti serangga melalui sistem ekolokasi (echolocations) atau gema yang dihasilkan olehnya.

Sistem tersebut sama seperti teknologi sonar yang digunakan oleh manusia untuk mengesan permukaan dasar laut.

Analisis eko atau frekuensi yang dikeluarkan sama seperti burung layang-layang gua, ikan lumba-lumba dan paus.

Selain bertindak sebagai agen pendebungaan, kelawar juga merupakan agen penyebaran biji benih yang amat berkesan.

Di negara ini, terdapat 186 jenis pokok buah-buahan yang mempunyai nilai ekonomi bergantung kepada kelawar dalam aspek pendebungaan dan penyebaran biji benih.

Anak kelawar yang dilahirkan dengan saiz besar iaitu 20 hingga 30 peratus bersamaan saiz kelawar dewasa dan hanya memerlukan dua hingga tiga minggu untuk mencapai 95 peratus saiz dewasa.

Ia juga mampu meningkatkan berat badannya sehingga 70 peratus berat badan kelawar dewasa dalam masa yang sama dan mula terbang pada usia sembilan hingga 12 minggu.

Usia kelawar dewasa mampu mencecah 10 hingga 30 tahun dan usia kelawar paling lama pernah direkodkan berusia 38 tahun.

Jelas Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Rasid Samsudin, kewujudan kawasan hutan perlindungan perlu bagi melindungi spesies kelawar.

“Kawasan ini (hutan simpan) dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang dan hanya digunakan untuk tujuan tertentu sahaja tanpa menyebabkan kemusnahan,” katanya.

Jelasnya, PERHILITAN akan terus berusaha meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pemuliharaan biodiversiti dengan melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.