Tiga ditahan disyaki cetak wang palsu di Kuala Besut

BESUT  – Dua lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit  dalam pengedaran dadah dan mencetak wang kertas palsu di Kampung Nangka, Kuala  Besut di sini malam tadi.

Mereka yang berumur antara 19 hingga 28 tahun itu ditahan dalam serbuan ke  sebuah rumah di kampung itu pada 8 malam hasil maklumat orang awam, kata Ketua  Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria.

Beliau berkata hasil serbuan itu, polis merampas 40 biji pil methamphetamine,  181 keping kertas bersaiz A4 yang bercetak depan dan belakang RM100 dengan  nombor siri palsu, 26 keping kertas bersaiz A4 yang bercetak bahagian depan  RM100 bersiri, tiga keping kertas bersaiz A4 yang bercetak belakang sahaja RM100  dan dua keping kertas menyerupai wang kertas RM100 yang siap dipotong.

Kamaruddin berkata turut dirampas ialah pemotong kertas, pencetak jenama  Canon dan dua notebook jenama Haier dan Acer serta satu komputer jenama  Dell.

“Seorang lelaki yang ditahan itu tidak bekerja manakala wanita itu adalah  peniaga kedai makan dan suaminya yang berasal dari dari Bandar Baharu, Kedah itu  merupakan seorang mekanik,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua lelaki yang ditahan itu positif dadah. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.