Duit banyak dalam akaun cetus ketakutan di Pakistan

MOHAMMAD Rasheed terkejut dan takut apabila mendapati baki akaunnya adalah tiga bilion rupee. – Foto AFP

KARACHI: Tentunya pelik jika ada orang tidak gembira malah ketakutan kerana memiliki duit yang banyak dalam akaun bank.

Bagaimanapun, itulah yang dirasai penarik beca Mohammad Rasheed, 43, apabila mendapati baki akaunnya adalah tiga bilion rupee (RM12.5 juta).

Dia rasa amat terkejut dan takut. Lebih-lebih lagi apabila dia mengambil masa setahun untuk mengumpul 300 rupee (RM9.35) bagi membeli basikal terpakai untuk anak perempuannya.

“Saya mula berpeluh dan menggigil,” kata Rasheed, mangsa terbaru sindiket pengubahan wang haram di Pakistan, ketika Perdana Menteri baru, Imran Khan, berikrar membanterasnya.

Apabila dia mendapat panggilan dari Agensi Siasatan Persekutuan (FIA), Rasheed pada mulanya berfikir untuk menyembunyikan diri.

Tetapi, rakan dan anggota keluarganya berjaya memujuk Rasheed supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Kes yang dihadapinya turut dialami puluhan orang lain sejak beberapa minggu lalu, sesuatu yang mendapat liputan besar akhbar Pakistan selain mencetuskan kemarahan penduduk yang sudah biasa mendengar kisah rasuah dan rompakan besar.

Insiden itu membabitkan perkara yang sama iaitu akaun bank milik warga miskin yang mengandungi banyak wang sebelum menjadi kosong disebabkan skim pengubahan wang haram yang menyaksikan jutaan dolar dibawa keluar negara.

Sekalipun dia kemudian telah disahkan tidak bersalah, Rasheed mengakui dia masih berasa bimbang.

“Saya tidak lagi membawa beca sewa di jalan raya kerana takut agensi penyiasat lain mungkin menahan saya. Isteri saya juga jatuh sakit kerana ketakutan,” katanya lagi.

September lalu, Mahkamah Agung Pakistan membentuk satu suruhanjaya bagi menyiasat punca kegiatan itu dan mendapati sekurang-kurangnya AS$400 juta (RM1.6 bilion) telah melalui ribuan akaun palsu menggunakan nama penduduk miskin.

Suruhanjaya berkenaan merumuskan, 600 syarikat dan individu terbabit dalam skandal itu.

Ia juga lebih memalukan bagi Khan ketika pentadbirannya berusaha mendapatkan bantuan asing selain berunding dengan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) bagi menangani krisis ekonomi.

Ia juga berlaku ketika Pakistan sekali lagi dimasukkan dalam senarai pemantauan oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), sebuah agensi pemantau pengubahan wang haram berpejabat di Paris, kerana Islamabad gagal membanteras pembiayaan untuk keganasan secara berkesan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.