Polis pantau ‘Sultan Melaka’ walaupun belum terima laporan

MELAKA: Polis tetap memantau perkembangan individu yang mendakwa dirinya ‘Sultan Melaka’ meskipun belum menerima laporan daripada mana-mana pihak.

Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima laporan daripada mana-mana pihak berkaitan hal itu.

Menurutnya, polis tetap memerhati dan memantau perkembangan termasuk apa yang tular di media sosial.

“Jika terdapat kepentingan peribadi termasuk melakukan penipuan kepada orang ramai dan laporan diterima, tindakan akan diambil.

“Sekarang ramai orang ingin menjadi duta Melaka. Sehubungan itu, tindakan akan diambil jika laporan polis dibuat,” katanya, selepas menutup Kejohanan Olahraga dan Tarik Tali Piala Ketua Polis Negara selama tiga hari berakhir di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, petang tadi.

Sebelum ini menerusi Facebook Sultan Mansor III terdapat beberapa gambar menunjukkan pemasyhuran yang diadakan 21 Oktober lalu di salah satu daerah di negeri ini.

Malah Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam kenyataannya pagi tadi, berkata, kerajaan negeri akan membuat laporan polis mengenai individu mendakwa diri sebagai ‘Sultan Melaka’, esok.

Terdahulu, dalam ucapan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang dibacakan Raja Shahrom, berkata 20 kontinjen menyertai kejohanan berkenaan membabitkan 1,200 atlet dan pegawai.

Kejohanan terbabit bertujuan mencungkil bakat baharu berpotensi untuk diketengah ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, ia menjadi wadah terbaik mengerat dan mengukuhkan hubungan silaturahim sesama anggota.

Antara acara dipertandingkan, lompat galah, lontar peluru, baling tukul besi, lompat jauh, larian 100 meter berpagar dan merejam lembing.

“Kejohanan ini amat menarik selepas 28 rekod kejohanan dipecahkan.

“Kontinjen bertanding termasuk Melaka Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Bukit Aman, Briged Tengah dan Utara.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.