Tetap perlu bayar PTPTN seperti biasa – Wan Saiful

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan. – NSTP/Zulfadhli Zulkifli

ARAU: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih perlu membayar hutang mereka memandangkan agensi itu belum melaksanakan dasar atau mekanisme baru bagi merealisasikan manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Ini termasuk janji PH untuk menangguhkan pembayaran semula oleh peminjam yang berpendapatan bulanan di bawah RM4,000.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, sehingga kini PTPTN masih menggunakan dasar sedia ada iaitu menggalakkan peminjam membayar hutang berkenaan secara bulanan dengan kadar tertentu.

“Bagi merealisasikan satu dasar baru dalam agensi kerajaan, ia memerlukan perbincangan di peringkat kementerian dan kabinet menteri.

“Sementara menunggu kertas cadangan mengenai mekanisme baru siap sepenuhnya, PTPTN masih menggunapakai dasarnya yang sebelum ini kepada peminjam,” katanya ketika ditemui di Pusat Transformasi Nelayan, Kuala Sungai Bahru, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Wan Saiful mendakwa PTPTN sudah menemui mekanisme baru ke arah merealisasikan manifesto PH untuk menangguhkan pembayaran semula PTPTN sehingga gaji peminjam mencecah RM4,000.

Antara intipati yang diterapkan dalam mekanisme itu ialah menggalakkan pembabitan sektor swasta dan kerajaan dalam membantu peminjam.

Wan Saiful berkata, mekanisme atau dasar baru agensi itu kini masih di peringkat perbincangan antara kementerian berkaitan.

“Mekanisme yang dirangka PTPTN sudah mendapat lampu hijau oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan, kini hanya menanti penilaian oleh pihak Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebelum dibawa ke kabinet untuk diluluskan,” katanya.

Beliau mengulas perkara berkenaan ketika ditanya mengenai rungutan peminjam apabila mendapat notis pemberitahuan pembayaran balik pinjaman PTPTN seperti biasa meskipun dalam kalangan mereka bergaji bulanan kurang RM4,000.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.