Pada 24 Mei lalu, Facebook mengeluarkan satu kajian kes yang mengatakan pengguna Facebook di Asia Barat dan Afrika Utara menghabiskan masa tambahan 57.6 jam menggunakan platform itu pada bulan Ramadan.

Syarikat se­perti L’Oreal atau jenama fesyen Splash menawarkan promosi istimewa pada bulan berkenaan yang menyasarkan pengguna di negara-negara Islam.

Walau bagaimanapun, Nord­VPN iaitu penyedia perkhidmatan jaringan maya berprivasi (VPN) global mengingatkan orang ramai bahawa membeli-belah dalam talian mempunyai risikonya tersendiri seperti kecurian maklumat kad kredit dan penggodaman.

Ketua Pegawai Pemasaran NordVPN, Marty P. Kamden berkata, pembeli dalam talian perlu berhati-hati berkongsi maklumat kad kredit mereka jika menggunakan sambu­ngan internet yang tidak di­lindungi.

Katanya, di pe­ringkat global hampir separuh daripada pengguna yang membeli-belah dalam talian pernah mengalami kes penipuan.

“Terdapat ba­nyak cara membeli-belah dalam talian boleh menjadi berbahaya kepada pengguna, contohnya, laman web membeli-belah berkemungkinan dicipta oleh penggodam untuk mencuri data.

“Selain itu, laman web membeli-belah dalam talian juga mungkin tidak menggunakan protokol pe­nyulitan yang selamat untuk memastikan bahawa maklumat pelanggan mereka adalah selamat semasa proses pembayaran,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Dalam usaha untuk kekal selamat apabila membeli-belah dalam talian, terdapat beberapa panduan mudah yang boleh diikuti, pertamanya sentiasa memastikan pautan URL laman web itu adalah https, ini kerana, abjad ‘s’ dalam pautan URL bermakna ia adalah protokol yang selamat dan data anda dilindungi dengan betul.

Menurut Marty, panduan ke­dua pula ialah orang awam perlu sentiasa berhati-hati sebelum memberikan maklumat peribadi atau kewangan secara dalam talian dan ketiga ialah elakkan daripada menggunakan terminal internet awam.

Jelasnya, WiFi awam semakin bebas untuk menjadi sasaran penggodam dan pencuri data yang cuba mengakses maklumat peribadi.

“Panduan keempat, gunakan VPN, mekanisme keselamatan yang memastikan data dikongsi di internet adalah selamat dan kekal sulit.

“Panduan kelima, yang juga merupakan keperluan yang pa­ling asas bagi sebarang akaun dalam talian adalah menggunakan kata laluan yang kukuh,” katanya.