Burger mini ‘panas-panas’ tumpuan pengunjung bazar

KUANTAN: Burger mini atau dikenali dengan panggilan ‘burger Malaysia’ memang popular sebagai juadah berbuka puasa yang mendapat permintaan tinggi di bazar Ramadan.

Lebih-lebih lagi, kuih berintikan sambal bilis istimewa bersama hirisan timun itu digoreng panas-panas di lokasi jualan menyebabkan gerai Mohd Dzulfazli Mohd Bakri, 32, bersama ibunya, Zumalati Mustafa, 57, sentiasa menjadi tumpuan ramai pengunjung Bazar Ramadan Taman Kerang, di sini.

Mohd Dzulfazli berkata, beliau bergandingan dengan ibunya menyediakan kira-kira 3,500 biji kuih-muih setiap hari, termasuk burger mini, karipap kentang dan sardin, temosa serta kek coklat mini.

“Bagaimanapun, dalam kalangan semua kuih dijual, burger mini yang digoreng panas-panas menjadi pilihan utama orang ramai, selain karipap.

“Malah, pengunjung bazar sanggup menunggu proses menggoreng hingga siap semata-mata untuk menikmati burger mini ini.

“Rata-rata mereka juga adalah pelanggan tetap yang memang menggemari burger ini,” katanya ketika ditemui, di sini.

Nurfizatul Aika Mohd Fuad, 16, menunjukkan burger mini atau lebih terkenal dengan nama burger Malaysia ketika tinjauan di Bazar Ramadan Taman Kerang. – Foto Shahrinnahar Latib

Sementara itu, Zumalati berkata, beliau dan keluarganya berniaga sejak 20 tahun lalu dan antara yang membezakan dengan orang lain ialah cara penyediaan kuih.

“Saya tidak menggoreng di rumah, sebaliknya buat dan terus jual sebaik sahaja siap dimasak.

“Saya tiada resipi rahsia, sama seperti penjual atau pembuat kuih lain. Namun, mungkin sebab kuih dijual panas-panas, pelanggan suka,” katanya.

Katanya, beliau juga amat menitikberatkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan, selain keenakan juadah bagi menarik pelanggan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.