Bursa Malaysia Menjunam

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini meneruskan penurunannya daripada Isnin apabila pelabur asing terus menjual saham mereka susulan ketidakpastian dalam dasar fiskal kerajaan baharu dan juga sejajar dengan prestasi pasaran serantau, kata peniaga.

Pada sesi penutup, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 56.56 mata untuk ditutup kepada 1,719.28 daripada paras penutup 1,775.84 pada Isnin.

Indeks itu dibuka rendah turun 16.28 mata kepada 1,759.56 dan bergerak antara paras 1,709.51 dan 1,759.56 sepanjang hari dagangan.

Pasaran ditutup pada Selasa sempena cuti umum Hari Wesak.

Pengurus dan Pensyarah Kanan Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff memberi tahu Bernama, banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan tidak menentu hari ini, antara lainnya, kemungkinan penurunan penarafan ke atas Malaysia oleh agensi penarafan kredit.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara projek mega yang akan dihentikan ialah Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3) , manakala projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dikaji semula.

“Keadaan harga minyak yang tidak menentu, yang susut kepada AS$75 daripada AS$80 setong dalam jangka masa singkat juga menyumbang kepada aliran rendah itu ditambah dengan pengumuman pendapatan korporat Amerika Syarikat yang mengecewakan kerana tidak mencapai sasaran,” kata Ahmed Razman.

Sementara itu, Bursa Malaysia juga dipengaruhi oleh penurunan bursa-bursa serantau lain, dengan Shanghai Stock Exchange China jatuh 2.53 peratus kepada 3,041.44, Nikkei Jepun susut 1.52 peratus kepada 22,018.52 dan Straits Times Singapura turun 2.08 peratus kepada 3,445.22.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi lain, Maybank turun 43 sen kepada RM9.57, Public Bank susut 92 sen kepada RM23.98, TNB jatuh 64 sen kepada RM14.14, Petronas Chemicals berkurangan 32 sen kepada RM7.99 dan CIMB turun 16 sen kepada RM5.90.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy turun empat sen kepada 58.5 sen, Borneo Oil susut satu sen kepada tujuh sen, YTL Corp berkurangan sembilan sen kepada 93 sen, Nexgram jatuh setengah sen kepada 3.5 sen dan MyEG tidak berubah pada 76.5 sen.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 995 berbanding 148, dengan 293 kaunter tidak berubah, 498 tidak diniagakan dan 54 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.6 bilion unit bernilai RM4.45 bilion, daripada 2.18 bilion unit bernilai RM2.28 bilion pada Isnin.

Indeks FBM Emas turun 419.87 mata kepada 11,998.42, FBM Ace susut 158.49 mata kepada 4,974.45 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 413.43 mata kepada 11,811.69.

Indeks FBM Emas Shariah jatuh 418.82 mata kepada 12,026.14 dan FBM 70 susut 582.16 mata kepada 14,194.16.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan berkurangan 547.27 mata kepada 17,188.82, Indeks Perusahaan susut 102.07 mata kepada 3,052.89 manakala Indeks Perladangan turun 88.06 mata kepada 7,755.7.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.28 bilion saham bernilai RM4.27 bilion daripada 1.29 bilion saham bernilai RM2.14 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 911.19 juta unit bernilai RM133.7 juta daripada 586.73 juta unit bernilai RM98.4 juta pada Isnin.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 404.25 juta saham bernilai RM49.09 juta daripada 300.51 juta saham bernilai RM39.19 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang 65.19 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (410.52 juta), pembinaan (206.05 juta), perdagangan dan perkhidmatan (1.06 bilion), teknologi (86.11 juta), prasarana (50.91 juta), SPAC (2.57 juta), kewangan (148.61 juta), hotel (1.92 juta), hartanah (199.18 juta), perladangan (34.84 juta), perlombongan (247,200), REITs (15.39 juta) dan dana tertutup (5,000).

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.