Portal berita RT yang memetik kenyataan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Alan Peter Ca­yetano sebagai berkata, Filipina akan berperang untuk melindungi haknya di Laut China Selatan, perkara yang bercanggah dengan dasar Duterte yang mengelak sebarang konfrontasi dengan negara jirannya.

“Jika ada pihak yang mengambil sumber alam di Laut Filipina Barat, beliau (Duterte) akan berperang.

“Beliau berkata, `Bahala na.’ (bermakna apa yang mungkin) (Tetapi) beliau akan berperang,” ulang Cayetano dengan menekankan `sempadan’ di tengah-tengah pertikaian wilayah ketika Beijing berterusan mengabaikan keputusan mahkamah timbang tara antarabangsa 2016 yang menyatakan tidak ada asas perundangan bagi China menuntut hak bersejarah di Laut China Selatan.

Tuntutan Manila termasuk sebarang pembinaan China di pulau buatan mereka di Beting Scarbo­rough atau sebarang usaha untuk memindahkan kapal perang Fi­lipina, BRP Sierra Madre dari Be­ting Second Thomas di kawasan pertikaian di Kepulauan Spratly.

“Tuntutan lain adalah tidak ada pihak yang akan mendapat sumber asli secara bersendirian.

“Tentera kami tidak harus diganggu semasa mereka menghantar bekalan atau semasa mereka memperbaiki landasan kapal terbang di Pulau Thitu dekat Spratly,” kata Cayetano.

Dalam perkembangan berasi­ngan, tentera China mengumumkan mereka telah mengerah kapal perang mereka bagi mencabar kapal perang tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang berlayar di perairan Laut China Selatan.

Menurut kenyataan dimuat naik di portal kementerian pertahanan China yang dipetik Straits Times, kapal perang China bertembung dengan kapal AS dan mengarahkan mereka untuk beredar dengan butiran lanjut kejadian itu masih lagi tidak jelas.