Kerajaan India siasat Tony Fernandes

CBI mendakwa, Fernandes dan yang lain, melobi pegawai India untuk menukar polisi yang mengawal operasi antarabangsa terhadap syarikat penerbangan berpangkalan di India, lapor agensi berita PTI pada Selasa.

Menurut undang-undang India sebelum ini, syarikat penerbangan berpangkalan di India perlu melengkapkan sekurang-kurangnya lima tahun operasi dan memiliki 20 pesawat yang ditugaskan untuk pasaran domestik sebelum terbang ke luar negara.

Ketua Kumpulan AirAsia itu didakwa mempengaruhi pegawai India untuk menyingkirkan peraturan 5/20, lapor PTI yang memetik agensi penyiasatan itu.

Kerajaan India sejak dua tahun lalu, menukar beberapa polisi untuk menarik pelaburan langsung asing dalam sektor penerbangan.

Pada 2016, kerajaan menukar peraturan 5/20, yang tidak memerlukan syarikat penerbangan domestik untuk beroperasi lima tahun sebelum melancarkan perkhidmatan antarabangsa.

Bagaimanapun, mereka masih perlu memiliki 20 pesawat untuk pasaran India.

Laporan media India tidak menyatakan secara khusus apakah pelanggaran yang dibuat Fernandes dan yang lain termasuk pemilik Travel Food, Sunil Kapoor; Pengarah AirAsia, R. Venkatraman; perunding penerbangan, Deepak Talwar dan Pengarah syarikat yang berpangkalan di Singapura, SNR Trading, Rejendra Dubey.

AirAsia India, usaha sama antara Tata Sons Ltd dari India dan AirAsia Bhd, memulakan operasi pada Jun 2014.

Dimiliki sebanyak 49 peratus oleh AirAsia Bhd, syarikat penerbangan berpangkalan di India itu memiliki 18 pesawat dan bercadang untuk terbang ke luar negara apabila ia memiliki dua lagi pesawat. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.