Mana Janji Nak Hapus Tol?

KUALA LUMPUR: Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan tol seperti dicanang dalam manifesto sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membuktikan langkah ‘populis’ itu tidak realistik dan sukar dilaksanakan.

Dalam kenyataan Unit Komunikasi Strategik UMNO hari ini, keputusan timbal balik dengan sekadar memberikan potongan diskaun tol berkadar 50 peratus untuk tempoh dua hari sebelum Aidilfitri, sekali gus menunjukkan janji manifesto itu hanya ‘gula-gula’ politik bagi meraih undi.

“Pastinya harapan berjuta-juta pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut lebaran hampa kerana tidak dapat tol percuma.

“Kenyataan bercanggah dengan manifesto PH untuk menghapuskan tol di seluruh negara pasti membebankan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jauh,” katanya hari ini.

Memetik agensi penarafan RAM Ratings, kenyataan berkenaan menjelaskan, penghapusan semua tol lebuh raya akan membabitkan bon dan sukuk berjumlah RM53 bilion.

Langkah itu, katanya bakal mengundang kerugian besar kepada pemegang konsesi dan kerajaan bagi tempoh singkat, selain mencetuskan persoalan mengenai mekanisme untuk menampung perbelanjaan bagi melunaskan hutang syarikat konsesi.

“Bagaimana kerajaan nak langsaikan hutang dengan segelintir syarikat konsesi di negara ini yang baru memulakan kutipan bagi membiayai kos pembinaan lebuh raya mereka?

“Apakah masa depan pembinaan lebuh raya lain, misalnya Lebuh Raya bertingkat Ulu Klang-Sungai Besi (SUKE) kendalian firma Prolintas mampu diteruskan tanpa kutipan tol?

“Projek berharga RM48 bilion itu memerlukan suntikan modal yang besar untuk pembinaannya, justeru adakah kerajaan sanggup menanggung kosnya dan bagaimana ia akan dilakukan,” katanya.

Unit Komunikasi Strategik UMNO mendakwa, rakyat sebenarnya menerima cara sistem bertol sejak Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) memulakan kutipan pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat.

Seperti di negara lain, katanya, sebahagian besar rakyat Malaysia memahami tujuan kutipan tol oleh syarikat konsesi yang menjanjikan keselesaan kepada pengguna untuk ke destinasi masing-masing walaupun wujud jalan raya alternatif.

“Mereka juga faham kos yang tinggi untuk membinanya di sesetengah tempat, masalah pengambilan alih tanah dan pampasan yang terpaksa diharungi syarikat konsesi ketika melaksanakan sebarang projek lebuh raya.

“Oleh itu, kerajaan PH tidak wajar gula-gulakan rakyat dengan janji penghapusan tol semata-mata untuk meraih undi, sebaliknya tunaikan setiap inti pati manifesto mereka tanpa alasan dan helah politik.

“Susulan pengurangan hanya 50 peratus dan diperuntukkan dalam tempoh dua hari menjelang Aidilfitri, rakyat mula tertanya-tanya dan kecewa terhadap kerajaan PH yang hanya pandai retorik,” katanya.

Tindak tanduk kerajaan PH, katanya, mula tidak ketentuan, malah sanggup menjadikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai agenda politik dan menjanjikan rakyat dengan angan-angan tinggi seperti pemansuhan tol.

Sehubungan itu, katanya, PH kini mungkin tercari jawapan sebenar mengikut kesan kewangan kepada kerajaan dan pemegang konsensi tol sekiranya ia dihapuskan.

“Tambahan pula, dalam keadaan pasaran saham yang merudum, penurunan berterusan ringgit dan penarikan keluar modal asing pastinya merunsingkan kerajaan sekarang.

“Ini bukan salah rakyat dan mereka tidak sepatutnya dipermainkan, sebaliknya ia angkara pentadbiran kerajaan PH yang cacamarba, sehingga menyaksikan pelabur luar mula menampakkan kesangsian untuk menanam modal di Malaysia,” katanya.-BH.

One thought on “Mana Janji Nak Hapus Tol?

  • 06/06/2018 at 8:11 pm
    Permalink

    Perkataan utk mendapatkan populariti tak akan kekal lama manusia yg mempunyai akal akan menilai setiap inci tutur bicaranya

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.