‘Saya tidak mahu pemain bola sepak’

PENYANYI Wani Kayrie, 18, mengakui dia serik dan tidak mahu lagi dikait berkawan dengan mana-mana pemain bola sepak tanah air.

Wani atau Syazwani Abdullah ketika ditemui berkata gosip mengaitkan hubungan rapatnya dengan seorang pemain bola sepak, Safawi Rasid pada tahun lalu cukup meninggalkan banyak kesan.

“Saya dikecam teruk oleh netizen dan didakwa tidak tahu malu kerana terhegeh-hegeh hendak berkawan dengan pemain bola sepak.

“Ada juga komen ditulis, masih bersekolah tapi dah gatal nak bercinta dan macam-macam lagi hingga sedikit sebanyak mengaibkan maruah saya sendiri,” katanya.

Menurut Wani, kecaman teruk diterima itu tidak adil buat dirinya kerana mereka (netizen) tidak tahu cerita sebenar dan siapa memulakan salam perkenalan.

“Jadi, apabila semuanya sudah berakhir dan gosip itu hilang, saya nekad tidak mahu lagi cuba berkawan dengan atlet dalam sukan bola sepak.

“Selepas gosip itu berlalu pun, sebenarnya ada ramai pemain bola sepak dari pelbagai pasukan dan kelab cuba nak kenal rapat dengan saya menerusi ‘DM’ di Instagram (IG). Tapi, saya tak layan dan balas.

“Saya tidak mahu lagi dikaitkan berkawan atau ada hubungan dengan mana-mana pemain bola sepak tanah air. Cukuplah dengan pengalaman yang sudah berlalu itu,” katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Jangan Jangan dan Aku Suka Kamu ini, kini dia ada impian dalam karier nyanyian yang ingin dikejarnya.

“Untuk 2018 ini, saya merancang memantapkan lagi karier nyanyian dengan cuba mendapatkan peluang untuk bertanding di pentas D’ Academy Dangdut Asia di Jakarta.

“Harapnya adalah peluang itu dan apa yang perlu dilakukan adalah usaha. Saya akan usaha untuk cuba dapatkannya hingga berjaya,” katanya.

Wani berkata dia harus tingkatkan usaha untuk menggapai apa diimpikan bagi karier nyanyiannya pada tahun ini kerana 2019 nanti hala tuju itu akan dialihkan pada pendidikannya ke menara gading pula. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.