Video aksi lucah Syafiq Kyle dijual RM20

KUALA LUMPUR 28 Mei – Industri hiburan tempatan hari ini digemparkan dengan penularan beberapa klip video yang memaparkan aksi lucah seorang pemuda yang didakwa menyerupai figura pelakon terkenal, Syafiq Kyle, 26.

Mula tersebar secara meluas di laman Twitter, difahamkan video tersebut dimuat naik seawal jam 12 tengah malam tadi secara berperingkat.

Menerusi empat buah video berdurasi antara 38 saat hingga dua minit semakin heboh diperkatakan khalayak umum yang rata-rata terkejut menyaksikannya.

Apatah lagi, populariti dikecapi naib juara program realiti Pencarian Hero Remaja 2012 itu menerusi watak Ustaz Adam di dalam drama Nur di TV3 mendadak naik ekoran keberkesanan lakonannya serta menjadi bualan ramai.

Tidak lama sebelum Nur, momentum kemasyhuran Syafiq dilihat bermula sejak membintangi siri Mencintaimu Mr. Photographer dan Tak Ada Cinta Sepertimu yang disiarkan di slot Megadrama, Astro.

Menguatkan lagi dakwaan, butiran perbualan menggunakan aplikasi video langsung antara lelaki yang membahasakan dirinya sebagai Syafiq itu jelas kedengaran bersama seorang wanita bernama Mira.

Berdasarkan kapsyen yang disertakan, pengendali akaun Twitter yang dipercayai palsu itu berhasrat mahu menjual koleksi klip video berkenaan dengan harga RM20.

Di samping itu, rakaman video langsung itu memperlihatkan jejaka berkenaan mundar-mandir di dalam rumahnya sambil berbogel dan berbual dengan Mira.

Konversasi antara kedua-duanya secara terang-terangan membicarakan tentang hubungan seks selain gurauan berbaur kelucahan melampau.

Dalam masa sama, pemilik syarikat pengurusan MASK Team yang menguruskan kerjaya pelakon terbabit iaitu nama Shawn Amer enggan memberikan sebarang komen kerana artis naungan syarikatnya itu gagal dihubungi kerana sedang menjalani penggambaran. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.