Tindakan UMNO fail saman, tuntutan bayaran balik adalah tepat – Penganalisis

ANTARA Perwakilan UMNO yang hadir ketika perbahasan usul sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. – NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

SHAH ALAM: Tindakan UMNO memfailkan saman dan tuntutan bayaran balik yang membabitkan kos terhadap ahlinya yang melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas dianggap betul dan tepat.

Profesor Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Nasrudin Mohamed, berkata, ia berikutan budaya politik matang negara ini perlu dianjurkan dengan lebih realistik dan praktikal.

Beliau berkata, tindakan seperti yang diambil UMNO itu juga bertujuan memberi pendidikan moral dan kebertanggungjawaban secara langsung kepada wakil rakyat yang melompat parti.

“UMNO melakukan tindakan yang betul dan tepat. Tindakan ini sangat wajar atas pertimbangan moral dan kebertanggungjawaban penuh.

“Sekali gus, ini akan meyuntik elemen pendidikan dan amalan politik matang dalam kalangan wakil rakyat,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Rektor Kampus UiTM Negeri Sembilan itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa tindakan undang-undang sudah dimulakan terhadap wakil rakyatnya yang meninggalkan parti berkenaan baru-baru ini.

Ahmad Zahid semalam dilaporkan berkata, keputusan itu diambil bagi menghormati kehendak disuarakan ahli parti yang merasakan diri mereka dikhianati selain wakil rakyat terbabit perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mei lalu dengan menggunakan tiket Barisan Nasional (BN).

Nasrudin berkata, tindakan melompat parti juga akan dianggap pengundi sebagai mempermainkan proses demokrasi serta mengkhianati kepercayaan pengundi yang memilih pemimpin berkenaan atas pertimbangan parti politik yang diwakili ketika itu.

Justeru, katanya, tindakan UMNO itu sangat wajar kerana tidak ada peruntukan undang-undang yang memaksa wakil rakyat yang melompat parti mengosongkan kerusi yang mereka menangi pada pilihan raya.

“Ini memberi ruang kepada wakil rakyat terbabit mempermainkan proses demokrasi sekali gus memberi isyarat yang tidak sihat serta tidak matang dalam kalangan pengundi.

“Mungkin sesuai jika diusulkan di Parlimen untuk menyekat wakil rakyat yang melompat parti daripada bertanding sekurang-kurangnya sepenggal sebelum boleh menjadi calon pilihan raya semula,” katanya.

Pun begitu, Nasrudin berkata, keputusan berkenaan tidak harus dilihat sebagai halangan untuk ahli bertukar parti.

Beliau berkata, sebaliknya ia lebih wajar dianggap sebagai hukuman dan didikan untuk ahli atau pemimpin parti tidak mempermainkan keputusan pengundi yang meletakkan kepercayaan mereka kepada parti dan calon.

Ditanya tidakkah keputusan UMNO ini seumpama menjilat ludah sendiri berikutan sebelum ini ia mengkritik kuat tindakan PAS mengenakan baiah terhadap calon pilihan rayanya, Nasrudin berkata, tidak ada apa yang perlu dimalukan sekiranya proses kesetiaan dan pendidikan seperti baiah PAS itu diamalkan.

Katanya, baiah atau persetiaan itu adalah elemen kontrak yang wajar dan sesuai digunakan untuk tujuan mengukuh dan membangun parti secara positif.

“Ia membabitkan pilihan dan keputusan peribadi serta dipersetujui kemudiannya antara beberapa pihak yang bersetia. Tidak ada apa-apa yang perlu dimalukan mengenai hal seperti itu,” katanya.

Pada masa sama, Nasrudin berkata, tidak wajar serta adil pula untuk mana-mana pihak mendesak pengosongan automatik terhadap kerusi wakil rakyat yang melompat.

Sebaliknya, beliau berkata, perlu ada undang-undang yang melucutkan pemimpin terbabit daripada status wakil rakyat dan pengisian kerusi yang dikosongkan itu secara automatik dibuat parti yang menguasai kerusi itu.

“Jika ia membabitkan wakil rakyat Bebas yang menyertai parti lain, kerusi yang dikosongkan itu secara automatik jatuh ke tangan calon kedua undi yang mempunyai undi terbanyak sewaktu pilihan raya umum atau pilihan raya kecil,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.