Jelaskan RM40 juta untuk siaran bola sepak – Rais

KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Dr Rais Yatim, meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, memberikan rasional berhubung cadangan kerajaan memperuntukkan RM40 juta bagi siaran perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018.

Menerusi mesej di Twitter malam tadi, Rais berkata kementerian berkenaan perlu menjelaskan sama ada jumlah RM40 juta itu adalah wang pengiklan atau peruntukan kerajaan.

“Kalau huluran dari kerajaan, dasar berjimat cermat tak masuk akal,” katanya dalam mesej itu.

Beliau juga mencadangkan supaya Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) berpakat dengan syarikat penyiar Astro untuk berkongsi siaran bagi menyelamatkan wang negara.

Semalam, Gobind pada sidang media mengumumkan RTM akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan Piala Dunia 2018 yang mana 27 adalah siaran secara langsung manakala 14 lagi siaran tertunda.

Menteri berkenaan dilaporkan berkata Kabinet bersetuju memperuntukkan sehingga RM40 juta untuk membeli hak penyiaran perlawanan itu.

Gobind berkata butiran mengenai bagaimana peruntukan akan dibelanjakan bakal dijelaskan ketika taklimat khas mengenai kewangan negara hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.