Malaysia Antara China dan Amerika Syarikat

MALAYSIA menduduki satu lokasi strategik di Asia Tenggara, berada di hujung sebelah timur Lautan Hindi dan sebelah selatan laut China Selatan yang dipertikaikan.

Kedudukan ini menyebabkan Malaysia berada betul-betul di tengah antara percaturan geopolitik China dengan pihak lain, paling utama Amerika Syarikat.

Malaysia secara tradisinya ialah rakan baik Barat, sebagai negara Komanwel dan kemudian terlibat dalam pakatan pertahanan dengan AS dan negara Komanwel lain.

Malaysia kekal bekerjasama dalam bidang pertahanan dengan AS, meliputi latihan tahunan, eksesais bersama dan pelbagai kerjasama lain dalam ketenteraan dan politik.

Bagaimanapun, hubungan antara AS dengan Malaysia tidak sebaik yang digambarkan melalui kerjasama tersebut, kerana dibelenggu banyak isu politik.

Malaysia yang asasnya ialah sebuah negara Islam tidak sehaluan dengan banyak agenda AS seperti yang melibatkan ideologi liberal dan dalam hubungan dengan negara-negara tertentu seperti China.

Dasar luar Malaysia secara asasnya bebas daripada pengaruh mana-mana negara kuasa besar, dan Malaysia mengimbangi amalan ini dengan baik.

Hubungan baik Malaysia dengan AS dan China dikatakan baik kerana tidak berlaku pertikaian atau krisis yang tidak dapat dikawal.

Secara umumnya, hubungan dikekalkan dalam keadaan yang lancar walaupun banyak perbezaan pandangan dalam pelbagai isu.

Kedua-dua AS dan China memerhatikan Malaysia dan mahu Malaysia lebih rapat dengan mereka dan tidak digunakan oleh pesaing untuk melemahkan mereka.

Dalam banyak hal, Malaysia dapat bekerjasama dengan kedua-dua kuasa besar ini dalam mencapai agenda mereka.

Malaysia bekerjasama dengan AS dalam hal memerangi terorisme, menyokong dasar luar AS dan meneruskan hubungan perdagangan pada tahap yang baik.

Dengan China, Malaysia menerima pelaburan besar-besaran China yang dilihat sebagai ancaman oleh pihak lain.

Walaupun bekerjasama dengan kedua-dua AS dan China, sejak kemasukan pelaburan besar-besaran China melalui pelaburan program Belt and Road Initiative, Malaysia dilihat makin dekat dengan China.

Kempen pembangkang selama beberapa tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 mensasarkan pada China.

Kerajaan Malaysia dituduh mendapatkan bantuan China dan bersedia memberikan terma yang menyebelahi China dalam pelaburan-pelaburan di sini.

Maka, dasar kerajaan baharu yang mahu menilai semula dan menghadkan projek-projek mega pelaburan China mesti diperhatikan dari Beijing.

Persepsi yang disampaikan pada China ialah kerajaan baharu Malaysia kurang mesra China berbanding kerajaan terdahulu.

Kenyataan menilai semula projek China, memberi amaran supaya kapal perang China tidak memasuki kawasan dipertikai mendekatkan Malaysia dengan AS.

Maka tidak hairan kalau AS mahu menyokong dan bekerjasama lebih rapat dengan kerajaan baharu.

Mungkin ada yang menganggap projek China di Malaysia ialah pelaburan seperti biasa, walaupun jumlahnya besar.

Tetapi bagi AS, semua ini membimbangkan kerana ini bermakna Malaysia akan mempunyai hubungan erat dengan China dari segi ekonomi dan politik.

Sama ada secara langsung atau tidak langsung, pelaburan China di Malaysia akan merapatkan hubungan kedia-dua kerajaan.

AS bimbang potensi yang bakal muncul daripada pelaburan-pelaburan mega yang sedang dijalankan sekarang.

Projek-projek China ialah sebahagian program infrastruktur global yang akan menjadi tunjang kepada perkembangan ekonomi China dan perluasan pengaruhnya.

Ini semua satu ancaman atau potensi ancaman kepada AS, dan kerana itulah projek China di Malaysia mesti disekat.

AS tidak melihat ini sebagai satu perkembangan biasa kerana sifat geopolitik dan pandangan politik AS yang kuat bersaing dan berpegang pada zero-sum-game.

Setakat ini, kerajaan Malaysia telah menegaskan akan menilai semula projek-projek China tetapi ini semua akan tertakluk pada perkiraan politik juga.

Malaysia dijangka tidak akan terus menolak China dan meletakkan diri lebih rapat dengan AS, tetapi akan meneruskan sebahagian besar dasar luar sebelum ini.

Bagaimanapun, China akan melihat pengaruhnya merosot selepas ini, dan secara langsung pengaruh AS pula yang akan meningkat. – Mynewshub.cc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.