Menurut Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil, tahun ini merupakan tahun keempat dia terlibat dalam program ini manakala tahun ketiga bagi Tesco Extra.

“Empat tahun saya menyertai anak-anak fitrah ini membeli-belah, saya dapat melihat perkembangan positif mereka terutama dari segi keyakinan diri.

“Mereka semakin pandai memilih kelengkapan raya yang diperlukan. Berbanding kali pertama program ini dijalankan, mereka langsung tidak tahu apa yang perlu dibeli.

“Lebih membanggakan saya, walaupun mereka diberi peluang ini, mereka tidak mengambil kesempatan. Sebaliknya mereka membeli secara berpada-pada dan tidak tamak,” katanya.

Program ini menyaksikan Pak Nil membawa seramai 151 orang kanak-kanak SBJK membeli kelengkapan raya di pasar raya Tesco Extra Mutiara Damansara, di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Pak Nil, secara peribadi, suasana membeli-belah kali ini juga amat berbeza berbanding ketika tahun pertama.

“Pada program kali pertama empat tahun lalu, saya tidak henti mengalirkan air mata ketika membantu mereka membeli barang persiapan raya. Saya terharu melihat anak-anak yang tidak tahu apa-apa dan meminta saya memilih saiz baju yang besar agar dapat dipakai lebih lama.

“Tahun ini, saya sentiasa tersenyum kerana dapat melihat mereka sudah tahu menikmati suasana membeli-belah. Saya gembira menyaksikan keterujaan mereka membuat persiapan dan memahami erti perayaan,” ujarnya.

Sementara itu, seperti tahun-tahun sebelum ini, Pak Nil turut merancang untuk mengadakan rumah terbuka bagi meraikan anak-anak fitrah ini. Bagaimanapun, tarikh dan lokasi belum ditetap.

“Bagi majlis rumah terbuka ini, saya turut mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin turut sama memberi sumbangan dan meraikan anak-anak fitrah ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE