Rizab antarabangsa Malaysia akhir April tetap boleh guna

KUALA LUMPUR 31 Mei – Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan butiran terperinci rizab antarabangsa menggunakan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF), menunjukkan rizab Malaysia pada akhir April 2018 `tetap boleh guna’.

BNM berkata, mengikut format SDDS IMF itu, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

“Aset rizab rasmi berjumlah AS$109,524.9 juta, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$420.0 juta pada akhir bulan April 2018,” kata BNM dalam kenyataan di sini hari ini.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman dalam mata wang asing disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan diunjurkan sebanyak AS$250.1 juta.

Jumlah kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$9,674.0 juta pada akhir April 2018, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam sistem kewangan.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah AS$2,568.4 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$90.2 juta.

Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain. Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.

Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab Malaysia pada akhir April 2018 tetap boleh guna. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.