Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, operasi akan dijalankan terhadap semua premis perniagaan peruncitan yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam menyelaras semula kadar GST setelah peralihan kadar cukai daripada enam peratus kepada sifar.

“Setakat ini, pemeriksaan harga barangan ketika enam peratus GST telah dibuat di 380 premis dan kita akan pantau harganya selepas pelaksanaan sifar GST bermula esok. Malah untuk memperkukuhkan pemantauan dan pemeriksaan, seramai 63 pegawai pemantau harga akan bersama-sama kami dalam operasi ini.

“KPDNKK Terengganu juga akan mengadakan operasi bersama JKDM yang mempunyai bidang kuasa ke atas aktiviti perniagaan untuk penguatkuasaan yang lebih berkesan melalui tindakan bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bilik gerakan juga akan turut beroperasi di KPDNKK negeri dan daerah bermula esok dan dibuka pada setiap hari sehingga pukul 10 malam di KPDNKK negeri dan hingga pukul 6 petang di KPDNKK cawangan, katanya. – Bernama