Cuti anggota pasukan keselamatan dibekukan – TPM

PUTRAJAYA: Cuti bagi anggota keselamatan dan penyelamat membabitkan pelbagai agensi dibekukan selama dua bulan mulai bulan depan sebagai persiapan menghadapi banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata arahan pembekuan cuti itu dikeluarkan sebagai langkah siap siaga berikutan beberapa negeri di Pantai Timur mula menerima taburan hujan yang tinggi susulan ketibaan Monsun Timur Laut.

Beliau berkata, pihak yang terbabit dengan pembekuan cuti itu termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pasukan pengurusan bencana di peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan Monsun Timur Laut sudah bermula pada 27 Oktober lalu dan dijangka berlarutan hingga Mac 2019. Malah, amaran hujan lebat berterusan peringkat waspada (kuning) sudah dikeluarkan bagi Kelantan dan Terengganu Sabtu lalu.

“Pada hari sama juga, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) turut mengeluarkan notis kesiapsiagaan kepada agensi-agensi berkaitan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Bencana Pusat (JKTPBP) kali pertama di sini hari ini.

Katanya, selain hujan lebat di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, pihaknya meramalkan fenomena air pasang besar di beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

INFOGRAFIK amaran angin kencang dan laut bergelora.

Dr Wan Azizah berkata, PDRM juga diingatkan supaya menggerakkan aset dan keanggotaan seramai 31,531 orang di seluruh kontinjen negeri.

Menurutnya, Ketua Polis Negeri juga hendaklah dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk mengetuai operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga hendaklah mengatur gerak pusat pemindahan banjir yang kini membabitkan 5,448 pusat bagi menampung kapasiti seramai 1.65 juta mangsa.

“Depoh dan stor makanan di setiap negeri dan daerah juga hendaklah selesai membuat penambahan dan pemeriksaan stok. Buat masa ini, terdapat lima depoh simpanan, 165 stor bencana dan 581 pangkalan hadapan disediakan bagi persiapan menghadapi banjir,” katanya.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) juga hendaklah mengatur gerak kesiapsiagaan untuk pemindahan haiwan ketika banjir bagi mengelak kerugian lebih besar.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir perlu dipandang serius oleh semua pihak termasuk agensi keselamatan dan masyarakat bagi mengelak keadaan bertambah buruk.

Selain itu, katanya, sejumlah RM1.77 juta sudah diluluskan dan sedang diagihkan bagi perbelanjaan sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan perbelanjaan operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.