Pasangan kekasih maut ketika ambil selfie ekstrem

Meenakshi Moorthy dan Vishnu Viswanath gemar mengembara bersama. -fotoInstagram

NIAT sepasang kekasih yang ingin mengembara mengelilingi dunia akhirnya bertukar tragedi apabila mereka maut ketika sedang berswafoto.

Mayat pasangan dari India, Vishnu Viswanath, 29, dan Meenakshi Moorthy, 30, ditemui anggota renjer hutan di sebuah destinasi pelancongan popular di Amerika Syarikat (AS), Taman Nasional Yosemite pada Khamis.

Pasangan itu dilaporkan terjatuh dari ketinggian 245 meter di bawah Taft Point, di mana pelawat dibenarkan berjalan ke tepi cenuram yang tidak berpagar dan menjadi lokasi popular untuk berselfie.

Menurut abang kepada Vishnu, Jishnu Viswanath, pasangan tersebut turut dikatakan telah memasang tripod berhampiran kawasan tebing yang curam dekat pergunungan Sierra Nevada, California pada petang Selasa.

Pengunjung menjumpai sebuah kamera keesokan paginya dan mereka memaklumkan kepada renjer hutan mengenai penemuan itu.

Pasukan renjer hutan menjumpai mayat pasangan itu pada Khamis kira-kira 800 meter di bawah Taft Point.

Jurucakap Yosemite, Jamie Richards berkata dia tidak tahu bagaimana renjer tersebut menjumpai mayat pasangan itu tetapi operasi mencari dan menyelamat berkenaan amat mencabar.

Moorthy yang bercita-cita untuk menjadi seorang blogger penggembaraan pernah menulis tentang percubaan selfie ‘berani mati’ di Instagramnya. – news.sky.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.