Saman guru untuk tamatkan budaya berdiam diri

SITI Nafirah (tengah) bersama peguamnya, Roxana Jamaludin (kanan) hadir dalam sidang media, di Penampang.

KOTA KINABALU: Bekas pelajar yang memfailkan saman terhadap bekas guru Bahasa Inggerisnya mendakwa berbuat demikian bagi pihak semua rakannya demi menamatkan budaya takut dan berdiam diri berhubung dakwaannya bahawa guru itu enggan mengajar di kelas.

Memetik laporan akhbar Daily Express hari ini, Siti Nafirah Siman, 19, berkata sudah tiba masanya semua pihak berani untuk menamatkan budaya itu dan mahu setiap sekolah memberikan pendidikan terbaik kepada pelajarnya.

“Guru tidak rugi apa-apa jika dia tidak mengajar, pelajar rugi semuanya jika mereka tidak belajar. Budaya takut bersuara mesti berakhir. Budaya psikopati dengan mengugut dan menakutkan kami juga mesti dihentikan,” katanya.

Siti Nafirah berkata, tanpa guru, pelajar tidak boleh berjaya dan akan gagal mencapai matlamat.

“Tanpa guru kita akan hilang arah, kita hilang pendidikan. Tanpa pendidikan, kehidupan kita tidak akan bermakna. Untuk kepentingan generasi masa depan, tiada apa lagi lebih penting berbanding seorang guru mengajar dalam kelas,” katanya.

Siti Nafirah yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi memfailkan saman itu terhadap Jainal Jamran yang didakwa tidak masuk kelas selama tujuh bulan pada 2015, ketika beliau berada di Tingkatan Empat.

Selain itu, beliau turut menamakan pengetua SMK Taun Gusi, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Kementerian Pendidikan dan kerajaan sebagai defendan.

Saman itu difailkan menerusi tetuan Roxana & Co pada 16 Oktober lalu dan pendengaran pertama kes itu dijadualkan pada 19 November ini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul, ketika dihubungi NSTP berkata, pihaknya tidak dapat memberi ulasan lanjut berhubung kes itu kerana ia sudah dibawa ke mahkamah.

“Saya tidak boleh ulas kerana (kes) mahu masuk mahkamah, kita kena tunggu dari mahkamah. Namun kami belum menerima surat saman dan hanya mengetahuinya melalui akhbar.

“Dalam masa sama, kami sedang membuat siasatan dalaman (terhadap kes ini),” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.